Pelabur SwissCash dapat balik duit

Friday, November 13, 2009

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti (SC) berjaya menyelesaikan kes pelaburan haram terbesar dalam sejarah membabitkan sejumlah wang sebanyak RM31 juta yang akan dikembalikan kepada pelaburnya.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, penyelesaian tertinggi sebelum ini ialah kes dagangan dalaman Bernas berjumlah RM2 juta yang juga telah diagihkan kepada pelabur.

Pembayaran yang mencatat sejarah itu adalah susulan penghakiman persetujuan yang dibuat dengan dua defendan pelaburan SwissCash dan ia akan digunakan untuk membayar balik kepada pelabur yang layak setelah mengalami kerugian daripada skim berkenaan.

"Sehingga kini, kira-kira 3,000 orang telah membuat laporan kepada SC terutamanya dari Malaysia dan beberapa negara lain yang mendakwa mengalami kerugian dalam skim berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Kosmo! pada 5 September 2006 pernah membongkar mengenai skim SwissCash atau Swiss Mutual Fund (1948) yang tampil dengan pelan pelaburan tanpa had dan jaminan keuntungan lebih 'meyakinkan' sehingga berjaya menarik RM190 juta wang rakyat Malaysia.

Skim yang mengutip deposit awam itu bergerak secara haram dan tidak pernah mendapat kelulusan pihak berkuasa kerana operasinya yang menyalahi undang-undang.

Menurut Zarinah, penghakiman untuk AS$83 juta (RM280.2 juta) itu merupakan jumlah yang dinyatakan dalam saman yang dikemukakan SC terhadap Albert Lee Kee Sien, Kevin Choo Mun Hoe dan Amir Hassan.

SC memperoleh penghakiman persetujuan dengan Albert Lee dan Amir Hassan pada 6 November lalu dan mereka bersetuju membayar SC kira-kira RM30 juta yang akan digunakan untuk membayar balik wang pelabur.

Sumber @ http://www.kosmo.com.my

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book

0 comments:

Followers

Connect @

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP