Pelabur skim cepat kaya Swisscash yang mengalami kerugian akan mendapat semula sebahagian wang

Thursday, November 12, 2009

KUALA LUMPUR: Pelabur skim cepat kaya Swisscash yang mengalami kerugian akan mendapat semula sebahagian wang mereka berikutan kejayaan Suruhanjaya Sekuriti (SC) menyelesaikan penipuan yang membabitkan RM31 juta itu.

Mereka yang layak mendapat ganti rugi perlu memenuhi beberapa syarat, termasuk mempunyai bukti kukuh sebagai pelabur prinsipal dan tidak terbabit merekrut pelabur lain.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar, berkata setakat ini kira-kira 3,000 pelabur membuat laporan mendakwa mereka kerugian akibat menyertai skim pelaburan internet itu.

"Kira-kira 80 peratus daripada mangsa adalah golongan profesional lelaki. Pembayaran ganti rugi akan berdasarkan kaedah peng-agihan yang ditentukan oleh mahkamah dan pelabur perlu mengemukakan dokumen serta bukti berkaitan bagi pelaburan mereka. Bayaran dijadual bermula seawal tahun depan," katanya di sini semalam.

Beliau berkata, ia adalah kejayaan terbesar SC dalam sejarah menyelesaikan kes penipuan pelaburan berikutan selesainya kes penghakiman terhadap dua tertuduh kes berkenaan, Albert Lee Kee Sien dan Amir Hassan pada 6 November lalu.

Beliau berkata, pembayaran dibuat hasil persetujuan penghakiman dengan dua tertuduh untuk membayar kepada SC kira-kira RM31 juta dan digunakan sebagai ganti rugi kepada pelabur.

Skim pelaburan internet Swisscash diharamkan oleh kerajaan dan laman webnya ditutup pada 2007.

Zarinah menjelaskan jumlah RM31 juta yang dipersetujui dibayar oleh Lee dan Amir adalah hasil daripada saman berjumlah AS$83 juta (RM280.3 juta) yang dikemukakan SC terhadap kedua-dua tertuduh dan seorang lagi rakan mereka, Kevin Choo Mun Hoe.

Katanya, penghakiman itu menandakan berakhirnya usaha gigih tiga tahun SC dalam siasatan kes Swisscash yang membabitkan siasatan rentas sempadan, kerjasama dengan tujuh negara serta pengawal selia luar negara.

Beliau juga berkata, pembayaran akan dilaksanakan dengan pelan yang diluluskan oleh mahkamah yang kemudian diuruskan oleh pengurus yang dilantik oleh SC.

"Untuk melayakkan mereka mendapat bayaran, pelabur mesti mengemukakan bukti dalam bentuk dokumen sebagai pelabur prinsipal. Mereka yang merekrut pelabur tidak layak.

"Selain itu, mereka yang melabur selepas SC mengeluarkan amaran jangan melabur dalam skim itu pada 5 September 2006 mungkin tidak layak. Namun SAC akan mencadangkan had tempoh bersesuaian bagi memastikan pelabur yang tidak menyedari penipuan itu turut mendapat ganti rugi," katanya.

Sementara itu, penyanyi terkenal, Deja Moss kerugian lebih RM30,000 dalam skim itu pada 2007, bersyukur kerana akhirnya nasib mangsa penipuan itu terbela.

"Saya sangat gembira mendengar berita ini kerana selepas menyedari tertipu, kami seperti hilang harapan mengenangkan wang yang dilabur lenyap begitu saja," katanya ketika dihubungi.

Beliau bagaimanapun berkata, sukar bagi kebanyakan mangsa membuktikan mereka pernah melabur dalam skim berkenaan kerana tiada resit rasmi dikeluarkan pihak pengendali pelaburan.

"Bagaimana kami hendak menuntut wang jika tidak mempunyai bukti pelaburan. Diharapkan SC memberi bantuan kepada pelabur seperti itu menuntut kembali wang pelaburan," katanya.

Sumber @ Berita Harian

Related Posts by Categories



Widget by Hoctro | Jack Book

1 comments:

NeoBlitz said...

Alhamdulillah. Tapi kat mana kami nak tuntut balik duit tu.
Terima Kasih

Followers

Connect @

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP